Wednesday 28 December 2011

Gajah muncul di kedai makan


gajah_batu_melintang_pix_[28_dis]
BATU MELINTANG – Kemunculan seekor gajah seberat 1.5 tan mengejutkan beberapa pelanggan yang sedang bersarapan di kedai makan dekat Kampung Dendung, pagi kelmarin.

Bagaimana mereka mampu menarik nafas lega, apabila gajah tersebut tidak bertindak agresif kerana hanya berkeliaran mencari makanan dan dipercayai masuk ke kawasan kampung dekat sini, dua hari lalu.

Penduduk, Abdul Razak Jusoh, 60, berkata, ketika menemani rakan menebas di kebun getah berhampiran kampung tersebut dia pernah melihat gajah itu dan tidak sangka akan muncul berhampiran kedai makan berkenaan.

Dakwanya gajah jantan terbabit juga turut memusnahkan kebunnya yang terletak di Batu 10 menyebabkan 40 pokok getah yang ditanamnya sejak empat tahun lalu musnah.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Rahmat Topani berkata, sejurus penduduk memaklumkan kejadian tersebut sepasukan pegawai dari pejabat Perhilitan Jeli bergegas ke lokasi berkenaan bagi mengesan haiwan itu.

Menurutnya, gajah seberat 1.5 tan itu akhirnya ditembak dengan menggunakan ubat pelali selepas usaha mengesan selama tujuh jam membuahkan hasil.

“Gajah berusia antara 10 hingga 15 tahun itu dipercayai berkeliaran di sekitar Kampung Dendung, Lawar, Belimbing dan Pendok sejak dua tahun lalu, kini berjaya ditangkap selepas didapati berkeliaran dan merosakkan tanaman serta boleh mengancam keselamatan penduduk.

“Urusan pemindahan gajah tersebut akan dilakukan dalam masa terdekat dengan kerjasama Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan yang menyediakan pengangkutan dan gajah denak diperlukan bagi menghantar haiwan ini ke Taman Negara.

“Tahun ini pihak kami berjaya menangkap 11 gajah termasuk di Kuala Krai dan Gua Musang,” katanya.
Credit to: Sinar

No comments:

Post a Comment