Monday 26 December 2011

Banjir di sana-sini...


Banjir di Sabah, Sarawak dan Pahang 

semakin buruk

26/12/2011 10:24am

KUCHING 26 Dis. - Beberapa kampung di kawasan rendah di Samarahan di sini, dilanda banjir bermula malam tadi berikutan hujan lebat sejak dua hari lepas yang diburukkan dengan fenomena air pasang besar. Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri ketika dihubungi, berkata setakat pagi ini, dua kampung iaitu Kampung Asajaya Hulu dan Kampung Serpan Ulu terjejas dengan bencana itu. "Menurut laporan daripada pihak Pejabat Daerah Samarahan terdapat kira-kira tujuh keluarga telahpun dipindahkan ke pusat penempatan banjir setakat ini,” katanya.

Beberapa jalan kampung di pinggir bandar raya ini juga dilaporkan telah dinaiki air, namun masih boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan, katanya. Beliau juga menasihatkan penduduk agar berwaspada memandangkan keadaan hujan yang masih berterusan selain fenomena air pasang besar yang melanda pada sebelah petang.

Sementara itu di SANDAKAN, SABAH - Mangsa banjir di Kampung Gum Gum di sini yang ditempatkan di pusat pemindahan meningkat kepada 351 orang setakat 9 pagi ini berbanding 341 semalam. Jurucakap Pusat Operasi Banjir Majlis Perbandaran Sandakan berkata 10 mangsa terbaru daripada dua keluarga itu dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga ekoran kediaman mereka berada di kawasan hulu sungai.

Hujan sekejap-sekejap serta kadang kala lebat masih berterusan dan pihak berkuasa bimbang paras air sungai meningkat tiba-tiba, katanya. Semua mangsa banjir yang membabitkan 101 keluarga itu ditempatkan di Dewan Serba guna Gum Gum.

Manakala di PAHANG keadaan banjir di daerah Rompin semakin buruk dengan lebih 300 mangsa lagi dipindahkan malam tadi, menjadikan mereka yang berada di pusat pemindahan meningkat kepada 946 orang setakat 9 pagi ini. Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata sebuah lagi pusat pemindahan dibuka malam tadi, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada lima buah.

Kesemua mangsa adalah daripada 214 keluarga dari 13 buah kampung, katanya ketika dihubungi di sini.
Sementara itu, Kampung Mentelong dan Kampung Denai yang terputus hubungan darat selepas jalannya dinaiki air tengah hari semalam, kini boleh dilalui semua kenderaan, katanya.

Credit to: BHarian

No comments:

Post a Comment